Navigasi
   Utama
   Dari Meja Pengerusi
   Kenali BNBBC
   Organisasi BNBBC
   Ahli BNBBC
   Berita
   Komen
   Kenyataan Akhbar
   Persidangan Dewan
   Video
   Galeri
   Forum
   Maklum Balas
   Hubungi BNBBC
   Kabinet Malaysia
  Parti Komponen BN
Anda adalah pengunjung ke
1 1 7 4 3 4
sejak 6 September 2008
 Commentary
18-12-2008 Peralihan kuasa dalam keadaan aman
  • CERIA... Abdullah Ahmad Badawi sempat berseloroh meminta para jurugambar merakam gambarnya bersama Najib Tun Razak (gambar kiri) sebelum sidang akhbar di Ibu Pejabat Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Beliau kemudian bersalam dengan Najib yang bakal menggantikannya.

  • DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 Oktober lalu mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

    Perdana Menteri yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru pada pemilihan parti kira-kira lima bulan lagi mahu Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

    Mengimbas kembali kenyataan yang dibuat pada sidang akhbar yang penuh sesak selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Abdullah berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam UMNO dan kerajaan, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. “Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam

    Perhimpunan Agung yang akan datang,” katanya.

    Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Najib, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, serta para pemimpin parti komponen BN, antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

    Menurut Abdullah, sebelum tempoh peralihan kuasa dilaksanakan Mac depan, beliau mahu melaksanakan tiga inisiatif bagi membolehkan negara terus melangkah maju, memperbaiki daya saing dan mengharungi cabaran luaran. “Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik,” tegasnya.

    Tiga inisiatif itu adalah memperkukuhkan institusi negara seperti badan kehakiman dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

    Perdana Menteri berkata, dua lagi inisiatif yang akan dilakukan adalah memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu serta BN memperbaharui komitmen terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

    Menurut Abdullah, beliau tidak mahu melihat UMNO dan BN berpecah belah. “Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Najib, sebuah negara yang mampu berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama, melainkan perpaduan dan keharmonian.’’

    Beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk berbalah sesama sendiri atau untuk berpolitik secara sempit sebaliknya kini adalah masa bagi memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara ahli-ahli UMNO dan BN serta meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya.

    Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu. Mereka berkata, kesediaan Perdana Menteri untuk melepaskan jawatan itu menggambarkan keikhlasan beliau sepanjang bergelar ahli politik dan juga pemimpin negara.

    Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang sukar dilakukan oleh seorang pemimpin dan ia wajar dipuji. "Ia satu keputusan yang sukar dilakukan oleh seorang pemimpin yang berada di peringkat tinggi seperti Abdullah dan MCA cukup menghormati keputusan beliau," katanya.

    Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, beliau terharu dengan keputusan Abdullah dan memberi sokongan penuh terhadap ketetapan itu. "Saya menghormatinya dan saya sokong keputusan yang dicapai oleh kedua-dua pihak itu (Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak). Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, Perdana Menteri banyak melakukan perubahan terhadap pelbagai agensi khususnya yang terbabit dalam bidang penguatkuasaan, terutama polis.

    "Kesungguhan itu wajar dipuji kerana agensi penguat kuasa adalah komponen penting terhadap sesebuah negara. Apapun, Gerakan menghormati komitmen terhadap semua perubahan dan semua pihak perlu menerimanya dengan terbuka," katanya.

    Sementara itu, beberapa pemimpin Umno ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN itu turut menyifatkan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak memper-tahankan jawatan sebagai Presiden pada pemilihan parti Mac depan sebagai satu pengorbanan besar yang harus dihormati semua pihak.

    Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata semua pihak harus menerima keputusan itu kerana ia adalah hak dan pendirian Perdana Menteri sendiri untuk menentukannya,

    "Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri atas jasanya bersama kita dan Barisan Nasional (BN) selama ini. Semua ahli juga harus menerima Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden yang baru selepas ini dan tiada siapa boleh membuat bantahan," katanya.

    Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata seluruh ahli BN perlu berganding bahu meneruskan program dalam manifesto ketika pilihan raya lalu walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno.

    "Ia bagi memastikan Abdullah dapat merealisasikan semua perubahan dan pembaharuan yang dilakukan sepanjang beliau menyandang kedudukan sebagai Perdana Menteri," katanya.

    Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin, menyifatkan keputusan Perdana Menteri itu sebagai satu pengorbanan demi kepentingan BN dan Umno berdasarkan keadaan sekarang.

    "Keputusan untuk melepaskan jawatan seperti ini adalah sesuatu yang sukar dilakukan apatah lagi ia adalah jawatan tertinggi parti. Ia melambangkan pendirian yang tidak mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kepentingan parti dan negara sebagai keutamaan.

    "Kita perlu hormati keputusan ini. Ia dilakukan selepas mengambil kira banyak perkara yang berlaku sebelum ini," katanya

    Selain itu, beliau turut menyokong peralihan kuasa Presiden parti kepada Najib. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Abdullah melaksanakan pelan peralihan kuasa dalam tempoh lima bulan ini.

    "Ia menandakan rasa tanggungjawab dan kebijaksanaan Perdana Menteri demi parti dan negara. Oleh itu, saya penuh yakin dengan keputusan berkenaan dan Umno akan memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib sebagai Presiden baru," katanya.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan keputusan Abdullah itu akan terukir dalam sejarah negara sebagai keputusan yang berani dan berupa pengorbanan seorang pemimpin yang benar-benar cintakan parti, negara dan bangsanya.

    Sambil menyifatkan keputusan itu bukan mudah dilakukan, beliau berkata, Abdullah banyak menyuburkan unsur demokrasi di dalam pentadbiran negara, sekali gus memberi lebih kebebasan kepada rakyat.

    “Saya sangat terharu dengan keputusan Abdullah itu kerana bukan mudah bagi seseorang yang memegang jawatan tertinggi negara memberi laluan dan bersara begitu sahaja.

    "Kita semua banyak belajar daripadanya dan ia adalah pengorbanan dari seorang pemimpin yang benar-benar cintakan parti, negara dan bangsanya... kita harus memberikan tabik hormat kepada beliau," katanya.

    Senarai Commentary (1 to 4 of 4 )
     No  Tajuk  Tarikh
     1 PM, TPM serikan rumah terbuka BNBBC  18-12-2008
     2 Peralihan kuasa dalam keadaan aman  18-12-2008
     3 Ekonomi negara tidak terjejas – Najib  18-12-2008
     4 Ahli Parlimen Sokong peralihan kepimpinan  16-12-2008
    Show   records
     Pengumuman
     Kalendar Aktiviti
     Pautan
    © Hak cipta terpelihara 2010 Barisan Nasional Backbenchers Council 2010